Kehidupan Awal Sulaiman Ninam Shah

Sulaiman memasuki alam kerjaya sebagai seorang konstabel polis di Johor pada tahun 1939. Tiga tahun kemudian, semasa Tanah Melayu berada di bawah pemerintahan Jepun, beliau dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Kenderaan Polis dan kemudiannya sebagai Penolong Penguasa Polis (ASP) untuk bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Muar sehingga Jepun menyerah kalah pada 1945. Pada tahun yang sama, Sulaiman mula berjinak-jinak dalam perniagaan dengan membuka kedai akhbar, buku dan majalah di Muar. Tahun berikutnya, Sulaiman berjaya mendapat tender membekalkan makanan keperluan kepada Hospital Muar. Pada tahun 1970-an, beliau telah menubuhkan sebuah syarikat usaha sama yang membuka ladang kelapa sawit di Segamat.

Sulaiman kemudiannya dilantik menjadi pengerusi dan pengarah di beberapa buah syarikat ternama seperti Budget Rent-A-Car, Laksamana Tour, Top Coach Builder, Malacca-Singapore Ekspress, Pelaburan Johor Bhd., T & T Properties, Menara Landmark dan juga Bank Rakyat.[3]